Sedari dulu lagi aku harus sedar, cinta kita hanya semusim pengajian. Semusim pengajian yang begitu lama harus aku tempuhi. Saratnya ibarat menanti empangan di buka pintunya agar terlepas takungan air yang melimpah ruah.
Tahukah kamu seberapa lama aku menanti? Bukan hanya 2 tahun 9 bulan dan 3 hari, tetapi ia menjangkau belasan tahun. Katakan saja andai aku mengenalimu saat kita masih bermain hide and seek di laman rumah seorang teman, bermula dari itu aku mula ingin tahu siapa dirimu.
Kita menginjak remaja, melepasi daerah kanak kanak itu tatkala kau terus menghilang sebegitu. Telah aku selusuri lagi pinggiran desa yang kelam sebelum aku bertemu cahaya. Aku bangkit gagah mengatasi kecewa, hampa, terluka selepas aku terjumpa sinar itu. Benar, cahaya itu datang dengan penuh pengharapan untuk aku kembali kepada fitrah. Apabila ia sirna, terundanglah resah di suatu ruang dalam diri, yang aku tidak pasti di mana.
2 tahun 9 bulan 3 hari, aku berlindung di balik cahaya itu. Nyata, ia hadir bukan untuk aku. Aku juga tidak tahu untuk siapa. Aku jua tidak mahu tahu, tidak mahu mencari siapa empunya sandaran cahaya Ilahi itu. Aku yakin, disediakan untuknya segala yang hebat. Kerana perjuangannya hebat, maka dari situ aku kira perancangan untuk dirinya juga hebat lantaran Tuhannnya Maha Hebat dengan mengilhamkan pelbagai kehebatan di benaknya.
**********************************************
Catatan ini untukmu, Wajdi.
Aku bukanlah Wardah yang warkahnya sentiasa dibalas oleh Amir Mukhlis walau kehadiran warkah itu tidak sedikit pun disenangi. Bahkan hanya aku yang sentiasa mengulangi kiriman itu tanpa sebarang balasan sehinggalah Tuhan kita mengatakan aku harus menghentikannya. Dan aku terus berhenti!
Aku bawa namamu di segenap ruang hidup aku, sebagaimana aku bawa wajah insan insan yang aku sayangi. Sehinggalah pada suatu hari yang telah ditakdirkan Tuhan meminta aku melupakanmu. Sehingga kini aku tidak tahu adakah permintaan Tuhan itu untuk selama lamanya atau untuk seketika cuma. Aku sendiri tiada jawapannya.
2 tahun 9 bulan 3 hari aku telah melupakanmu. Tanpa mengenal siapa kamu pada aku pada suatu ketika dahulu. Aku dikaburi dan ditenggelami dengan wajah serupa Al Kahfi sedang itu hanya fatamorgana di mata insan seperti aku. Benar, dia adalah bayangan Al Kahfi di abad ini. Cumanya, hadirnya bukan untuk memimpin tangan aku. Sekadar menjernihkan iris mata ini agar kaburnya hilang dan laluan berlalang dan penuh semak menuju ke pangkuan Tuhan tidak menghalang.
Tahukah kamu semusim kita tidaklah sama seperti satu semester di mana mana pusat pengajian, yang mana tempohnya hanyalah dalam anggaran 6 bulan. Itu perkiraan manusia. Perkiraan Tuhan tidak kenal masa. Semusim kita adalah sangat lama, sejak dulu sehingga kini tidak kunjung padamnya.
8 Julai 2013
1.10 pagi
IPG Perlis
[catatan : 26 Jun 2010-29 Mac 2013]
No comments:
Post a Comment