BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, May 24, 2011

itulah dia

Hari ini hari terakhir kelibat hijau itu bakal kelihatan. Semalam tempatnya masih di situ. Tapi hari ini sedikit berganjak. Walau di mana pun dia, aku tahu itu adalah dia.

Nun di hujung sana, ku lihat dia sangat tekun. Setekun  membuat kerja-kerja amal dan dakwah. Kepala didongak sekali sekala. Mencari ilham agaknya.

Ternyata dia tidak mudah terpengaruh. Menjadi dia seadanya dia. Meski ada yang berbaris sejalan dengannya berkata perjuangan itu retorik semata. Tapi siapa peduli. Dia tidak peduli. Aku tidak peduli.

Biar retorik, daripada langsung tiada apa-apa. Biar tidak dipandang manusia. Yang pasti dia tidak mengganggu sesiapa.

Waktu berlalu. Aku dongak kepala. Jarum jam sudah menghala ke angka lima. Pengawas peperiksaan mula menyuruh mereka menghabiskan ayat-ayat terakhir. Waktu aku masih berbaki setengah jam. Masih banyak lagi yang tertinggal. Masih banyak ruang-ruang kosong yang perlu diisi.

Selangkah demi selangkah aku perhatikan. Sehingga hilang dari pandangan. Mahu sahaja aku mengikutnya pergi. Kerana aku tahu halanya benar. Tujunya lurus. Aku mahu mengikutnya ke mana sahaja. Di sini atau di sana. Ke sini mahu pun ke sana.

Mungkin masa tidak akan pernah membenarkan aku dan dia untuk berjumpa lagi. Ekoran kekangan-kekangan yang perlu aku dan dia redha akan kewujudannya. Aku tidak akan persoalkan itu. Aku sudah faham.

Kerana aku, dia, berbeza. Lihat saja dari cara berpakaian. Aku tidak mampu menjadi seperti dia. Dia pula pasti tidak tergamak untuk menjadi seperti aku. Boleh terjadi saat kucing sudah tumbuh tanduk, mungkin!

Walau bagaimanapun, hidup ini hanyalah cerita. Cerita tentang meninggalkan. Dan yang ditinggalkan.




Dia pergi aku rela. Kerana ini sekadar cerita.





24 Mei 2011
5.00 petang
IPG Perlis 

Friday, May 20, 2011

dia orang biasa

Semalam peperiksaan sudah bermula. Seperti peperiksaan semester lepas, sememangnya aku nantikan seraut wajah itu. Sebetulnya, seraut wajah itu sentiasa bertamu secara realiti tetapi aku tidak tahu kenapa kehadirannya di sini lebih memberi makna. Mungkin sesuatu yang tidak biasa terjadi menjadikannya lebih bermakna. Dan aku suka itu.

Dalam dewan peperiksaan, aku pandang ke kiri. Aku kira 100 darjah di kiri aku itu, kelihatan kelibat hijau yang aku tunggu. Owh dia! Setenang wajahnya, begitulah sejuk pandangan barang siapa yang melihatnya. Tak perlu aku menyatakan siapa dia, kerana dia adalah dia yang aku kenal.

Lewat pertemuan pertama kalinya, aku rakam wajah itu ke dalam kotak memori yang tidak akan pernah mampu aku lupuskan. Mungkin sampai bila-bila. Aku harap begitu.

Benar! Aku kagum dengannya. Walau dikatakan skema, atau budak surau yang tidak tahu bersosial, biarkanlah dia. Sekurang-kurangnya dia ambil peduli akan hidup yang hanya sekadar persinggahan di atas muka bumi ini.

Sudah lama aku tidak menulis tentang dia. Kerana tiada yang istimewa tentangnya yang perlu aku ceritakan berulang kali. Dia hanya insan biasa.Tapi menyedari bahawa perjuangan ini belum selesai!


 







20 Mei 2011
11.30 pagi
IPG Perlis