29 Oktober 2014.
Wardah terlalu asyik scroll down aplikasi Facebook di telefon pintarnya sehinggalah matanya tertancap pada satu nama yang di tag oleh Wajdi.
Ringan pula jari Wardah untuk mengklik pada nama Kura Kura di Lautan Madu itu. Wardah memerhati satu persatu apa yang ada pada wall pemilik akaun itu.
Segera Wardah bangkit, berdiri, lantas berjalan dari ruang tamu itu menuju ke bilik. Pintu bilik ditutup rapat. Mencari sedikit privasi, jauh dari rakan rakan yang leka menonton televisyen.
Di sebalik pintu, Wardah menyeka air mata. Dia tidak pasti apakah perasaannya di kala itu. Gembira atau sedih? Sedih atau kecewa?
********************************
Pantas dia mendail nombor telefon sahabat baiknya, Kim. Kim akan menjadi tempat rujukan Wardah untuk sebarang permasalahan. Dengan sesiapa sahaja Wardah ingin dikenenkan, Kim pasti akan menasihatinya,
"...Tak apa la Wa. Awak berkawan la dulu dengan dia. Saya tahu awak tunggu Wajdi tapi Wajdi tak cakap apa apa pun kat awak kan... Dia tak ada cakap pun dia nak tunggu awak atau pun suruh awak tunggu dia. Apa yang dia cakap kat awak semuanya macam tak jelas, tak valid, tak solid. Awak kena bagi peluang kat diri awak jugak untuk kenal orang lain..."
Benar kata Kim. Wajdi tidak memberi sedikit pun harapan buat Wardah. Hanya Wardah sahaja yang terlalu dibuai kenangan masa lampau, saat mereka berdua masih mentah seusia jagung yang baru setahun.
Wardah akur, menerima nasihat Kim namun di hatinya menanggung beban yang lain pula.
***************************************
Perbualan yang mengambil masa hampir tiga jam itu menjadi bukti betapa Wardah benar benar tidak dapat lari dari terus dibayangi Wajdi. Hampir satu jam perbualan mereka ialah perbualan sendu. Hanya kedengaran esak tangis Wardah sambil diselangi celahan suara Kim yang meminta Wardah beristighfar, mengucapkan shahadah juga sambil dirinya mengalunkan beberapa zikir.
" Wa, awak jangan macam ni. Awak menangis macam mana sekalipun Wajdi takkan tau pun. Membazir je air mata awak tu.
"Saya tak tahu Kim. Saya tak tahu kenapa saya macam ni..."
Tangisan Wardah semakin reda.
"Macam ni la Wa. Awak anggap la si Kura kura tu lebih perlukan Wajdi lebih dari awak perlukan Wajdi, ok? Awak kena positif la. "
"Saya silap kan sebab terlalu ignorant. Saya tak pernah rasa kecewa, sekecewa hari ni. Fail paper exam pun tak rasa macam ni."
Ketawa mereka berderai. Emosi Wardah beransur pulih.
********************************
Beginilah kehidupan. Bukan semua berakhir dengan indah. Kita sering disajikan dengan hidangan cerita cerita happy ending sedangkan tidak semua hidup berkisar tentang bahagia semata mata.
Lihat sahaja pada home Facebook, ada sahaja yang berkongsi tentang cerita cerita berunsurkan teras agama seperti menahan diri dari terlibat dengan lelaki ajnabi yang didamba, sehingga lelaki itu sendiri yang datang tepat pada masanya.
Bukanlah tidak benar cerita cerita sebegitu. Apalah salahnya jika diselitkan juga unsur unsur realiti bahawa kehidupan tidaklah sebegitu pada hakikatnya. Kekecewaan terselit di mana mana. Tidak wajar untuk mendabik dada dengan mengatakan "aku tidak kecewa" selagi tidak diuji sebagaimana orang yang diuji sebegitu.
Don't judge my decision, my action if you don't walk in my journey!
Begitulah yang seharusnya. Kerana, bukan semua berjalan di atas baldu kerana Allah turut menyediakan jalan berduri bagi hambaNya merasa erti kesakitan. Lantas apabila dia merasa bahagia, kebahagiaan itu menjadi satu nikmat yang tidak ternilai.
Itulah syukur.
Manusia tetap manusia.
Manusia ialah hamba.
Ada masa ingat, ada masa lupa.
Ada masa istiqamah, ada masa alpa.
3 November 2014
3.12 pagi
Taman Seri Bakau,
Kangar